29-06-08
Pertama kali aku memegang tubuh kecilnya adalah untuk diazankan. Saat itu, tubuhnya dilingkari dengan tiub-tiub dan wayar. Melihat wajahnya, membuatkan hati terasa sebak sekali.
Malam itu juga, doktor bertemu dengan kami untuk membincangkan beberapa perincian mengenai putera kami. Mendengar kata-kata darinya, bagaikan satu mimpi yang ngeri. Betapa aku berharap apa yang aku dengar itu tidak benar sama sekali.
Kami kehilangan kata-kata.
Sebaik doktor pergi, aku tidak mampu menahan air mata dari tumpah. Tuhan, ku mohon kekuatan dari-Mu
27-06-08
Masanya sudah tiba. Awal 3 minggu dari tarikh yang dijangka. Lebih kurang jam 10 lebih malam, waktu Glasgow, isteri sudah selamat melahirkan seorang putera. Itupun tidak sempat menunggu ayah datang kembali ke hospital kerana pulang sebentar. Syukur Alhamdulillah. Dia benar-benar tidak mahu menyusahkan ibu untuk berada lama dalam kesakitan.
Namun begitu, buat masa ini dia masih tidak boleh berada dengan kami kerana terpaksa menjalani rawatan rapi. Mendengar kata-kata doktor sudah cukup membuatkan aku merintih. Pada saat ini, hanya kepada-Nya aku pohonkan. Agar bayi ini baik, sihat, selamat, sejahtera dan sempurna.
Doakan juga buat kami teman semua!
26-06-08
Pagi tadi, hampir separuh dari sebungkus biskut bernama Flapjack Sultana & Apricot dari Mark & Spencer dimakan. Selepas itu, kosong sudah satu plastik besar sebungkus Crisps Oak Smoked BBQ dari Tesco. Usai solat Zohor, nasi berlauk sambal kering mak dan juga sekeping telur goreng pula.
Tidak kurang tiga puluh minit selepas itu, kismis bersalut coklat pula menjadi kunyahan di mulut. Satu satu. Kemudian, menjadi tiga empat butir dikunyah sekaligus!
Aku cuba lihat apa lagi yang ada di dalam laci. Ada coklat. Ada cip kentang Walkers Cheese & Onion. Aku keluarkan semua. Aku mahu kunyah lagi dan lagi. Mulut dan selera aku bagai tidak mahu berhenti.
Ada banyak tugas yang menganggu. Satu pun tidak menjadi. Aku jadi tidak keruan. Lalu, aku lepaskan rasa itu dengan makan lagi dan lagi. Tolong, tolong!
Akhirnya, tangan aku menekup dahi. Lalu terhidu segala bau sisa makanan yang melekat di celah jari jemari.
24-06-08
Pagi Isnin aku datang dengan semangat yang membara. Aku sudah berkira-kira mahu membuat eksperimen ke atas set papan cip pemproses yang baru tiba di makmal ini beberapa minggu sudah. Harganya yang beribu pound membuatkan aku agak berdebar. Ini baru peringkat ‘mengenali’, belum lagi dikira menguji dalam erti kata sebenar. Apabila difikirkan, banyak sungguh yang harus dibuat!
Terdapat satu masalah utama berhubung dengan set pemproses berkenaan. Kesemua plug yang dibekalkan adalah merujuk kepada piawai US. Mana mungkin aku boleh memasukkan plug berkenaan ke pin tiga soket yang menjadi piawai di UK (dan juga Malaysia). Oleh itu, aku terpaksa mencari adapter bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Minggu lepas, aku cuba cari alat berkenaan di sekitar kedai 1 Pound, yang mana menawarkan semua jenis barang untuk £1 sahaja. Malang sekali, alat berkenaan tidak mampu memberikan hasil yang dikehendaki. Lalu aku terpaksa membuat pesanan secara online di Amazon. Hari Sabtu, barulah barang berkenaan tiba di rumah.
Begitu beria-ria aku tiba di makmal dan membuat persediaan ke atas set pemproses berkenaan. Aku uji dahulu dengan lcd monitor kecil yang menjadi salah satu aksesori set tersebut. Nampaknya, tiada masalah.
Seterusnya, aku sambungkan kesemua peralatan dengan wayar dan penyambung yang disediakan merujuk kepada manual yang diberikan. Setelah selesai semuanya, masa untuk menekan suis.
Papan lcd monitor kecil itu tidak hidup seperti sebelum ini. Aneh.
Tiba-tiba, aku terhidu sesuatu. Bau hangit menerjah lubang hidung. Segera aku lihat pada suis di bawah meja. Adapter sudah berasap! Segera aku matikan suis.
Hati aku jadi ‘down’ semula.
Beberapa minit berlalu sambil menanti bau hangit hilang. Untuk seketika dirasakan semangat aku bagaikan terbang bersama asap tadi.
22-06-08

Kini, usianya sudah pun meningkat kepada angka 3. Sekejap pula dirasakan masa berlalu. Tanpa disedari, Najla semakin dewasa. Dan semakin lama, mata kecil itu menzahirkan erti ‘najla’ itu sendiri - ‘mata yang indah’. Mata yang menyimpul rajuk, tangis, gembira dan manja dalam sayang. Mata itu tidak pernah menipu. Mata kecil itu suci dan jujur. Pada setiap lafaz, perbuatan dan hatinya.
Dan mata itu jugalah yang selalu membuat ayah atau ibu jadi rindu selalu. Bila-bila kami berjauhan darinya. Meski hanya seketika cuma waktunya.
Pernah juga ayah bertanya, Najla mewarisi wajah siapa? Barangkali rambut itu jelas dari ayah. Halus. Dan ibu berkata, mulut Najla begitu hampir seperti ayah. Terutama sewaktu kita tidur! Barangkali, raut wajah dan mata yang cantik itu adalah dari kombinasi ayah dan ibu. Terlarik dari sisi yang indah-indah. Atau dari moyang Najla yang ada berdarah Inggeris-Scottish, Cina, Kelantan dan juga Jawa. Entah yang mana agaknya memberi pengaruh genetik yang besar.
Rajuk Najla seperti ayah. Mudah sekali terasa. Namun, begitu mudah sekali memujuk. Seperti ibu. Bijak sekali mengambil hati. Kadangkala keras. Kadangkala lembut menyentuh. Moga nanti, apabila dewasa kelak, Najla bijak memilih dan mengawal rasa itu.
Najla kini bukan lagi seperti yang dulu. Banyak sekali yang dipelajari sejak berada di rantauan ini. Setahun yang lalu, hari ini kita sambut dalam kedinginan malam. Waktu itu, kita agak baru di daerah asing ini. Sekeping kek coklat kecil terhidang. Lalu kita meraikan hari itu dengan lagu hari lahir. Tiada sebarang hadiah. Tiada undangan tetamu. Sekadar kita bertiga.
Kini, hari itu kembali. Bezanya kali ini, Najla bakal bergelar kakak. Ayah ibu percaya, Najla akan menjadi kakak yang baik. Dan malam itu, kita semua berpelukan. Sambil mengucapkan, ‘Happy birthday Najla!’. Barangkali Najla belum mengerti apa itu hari lahir. Yang dia tahu, adanya kek, hadiah dan lagu hari jadi. Namun itu sudah cukup untuk membuatkan dia tersenyum dan ketawa.
Suatu hari nanti, apabila Najla dewasa, ingatilah semua ini. Di benak ayah, masih lagi tergambar jelas peristiwa pada malam itu. Najla mahu keluar awal dua hari dari tarikh yang dijangka. Sambil menahan rasa kantuk, ayah menemani ibu di bilik bersalin. Betapa ayah menyedari betapa besarnya pengorbanan seorang ibu semasa melahirkan seorang anak. Menahan rasa sakit yang datang pada setiap masa. Barulah ayah mengerti mengapa seorang ibu perlu dilebihkan dari ayah. Ibulah yang paling banyak bersusah payah.
Namun begitu, saat yang masih tidak dapat ayah lupakan adalah sewaktu Najla muncul di depan ayah. Sukar sekali menggambarkan seribu rasa yang bertandang. Seakan satu keajaiban hinggap ke setiap deria apabila melihat zuriat ayah di depan mata. Hadirnya Najla terus mengikat kita semua. Sebagai satu keluarga yang saling melengkapi.
Masa yang berlalu bagaikan seimbas cuma. Ayah terpaksa mengakui anak ayah semakin dewasa. Semakin matang. Nanti, dari seorang kanak-kanak kecil bakal menjadi seorang gadis. Seorang wanita. Seorang muslimah. Cuma ayah tidak mampu memberi kepastian adakah ayah dapat melihat segala transisi itu. Bahkan, di luar kemampuan kita manusia biasa.
Apa yang mampu ayah harapkan agar setiap detik yang dilalui bersama menjadi sesuatu yang terindah buat kita. Setiap tawa. Setiap tangis. Setiap rajuk. Setiap pujuk. Setiap kata yang terucap. Setiap sentuhan. Setiap pelukan.
Suatu hari nanti, itulah yang akan dirindu. Jangan sesekali membiarkan ayah dan ibu terlupa setiap rasa itu.

Selamat hari jadi sayang. Moga rahmat Tuhan akan selalu melimpah buat dirimu. Dipohonkan juga agar hidupmu nanti akan selalu dipermudahkan dan diberkati. Dan usah sekali ‘cahaya mata yang indah’ ini melukai hati ayah ibu. Doakanlah kebahagiaan kita bersama. Dunia akhirat.
Jadilah penawar mata, hati dan jiwa ayah ibu ini. Selalu. Ya sayang, selalu.